JULAI 2023

Sarawak Rekod Jumlah Dagangan RM217.2 Bilion Pada 2022


KUCHING: Sarawak merekodkan jumlah perdagangan RM217.2 bilion tahun lalu berbanding RM150.9 bilion pada 2021, menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan  

Katanya, lebihan dagangan Sarawak meningkat kepada RM88.2 bilion tahun lalu berbanding RM52.7 bilion (2021).

“Rakan dagangan utama bagi Sarawak pada 2022 ialah Jepun, China, Semenanjung Malaysia, Korea Selatan, India, Australia dan Singapura," katanya pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Makan Tengahari anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Besar Cina Kuching  (KCGCCI) hari ini.

Sarawak merekodkan RM32 bilion pelaburan tahun lalu yang mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu. 

"Daripada jumlah ini, sektor utama menyumbang RM22.3 bilion daripada pelaburan, diikuti  sektor pembuatan dengan RM5.2 bilion dan sektor perkhidmatan RM4.5 bilion.

"Bagi pelaburan berkaitan pembuatan dari 2022 hingga suku pertama 2023, Sarawak telah meluluskan RM9.6 bilion untuk 87 projek. 

"Dengan adanya penubuhan InvestSARAWAK sebagai pusat sehenti untuk memudahkan pelaburan akan menarik lebih banyak syarikat untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, berkata, pembangunan ekonomi digital dan hijau menjadi keutamaan memandangkan Sarawak mempunyai sumber asli yang melimpah 

"Malah ia boleh dimanfaatkan untuk menyediakan tenaga yang bersih dan mampan.

"Sarawak menggalakkan pelaburan dalam hidrogen, teknologi baharu dan penyelesaian yang boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau termasuk teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti